Laman Tarbiyah

Tahun Baru Masehi vs Tahun Baru Hijri (Dalam Konteks Negara Islam hadhari)

Oleh Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Sejarah negara dilakar apabila sambutan tahun baru masehi 2005 tanpa sebarang dentuman bunga api, perarakan atau himpunan muda mudi di padang terbuka seperti Dataran Merdeka, Dataran KLCC dan seumpamanya. Sebaliknya YAB Perdana Menteri memerintahkan supaya sambutan tahun baru masehi 2005 disambut dengan bacaan yasin dan tahlil serta doa selamat bagi meraikan keluarga mangsa yang terkorban dalam peristiwa ngeri Tsunami yang melanda Asia khasnya blok Asia Tenggara yang mengorbankan hampir setengah juta ummat.

Biasanya bacaan Yasin, tahlil, doa selamat, ceramah agama dan forum dianjurkan sewaktu mereka menyambut Maal Hijrah di awal Muharram, tetapi pada tahun lepas(2005), sambutan Tahun Baru Masehi dengan sambutan Tahun Baru Hijri tiada perbezaan.

Suasana dibentuk dengan penuh tenang dan mengingati yang Maha Kuasa, Allah Jalla wa A'la . Negara diselubungi keinsafan dan kesedaran yang cukup mendamaikan. Tiada lagi buih arak yang membusuk di mulut peminumnya dan tiada pula dara yang dikorbankan dalam pesta durjana.

Segalanya kerana Tsunami yang melanda. Ganaskah Tsunami? Kejamkah Tsunami? tentu saja tiada siapa yang mampu segera menjawab persoalan ini, melainkan akur terhadap apa yang terjadi dengan penuh tunduk dan syukur kepada Allah swt.

Kehebatan Tsunami mencetus kesedaran drastik dari manusia yang dulunya angkuh dan degil, dengan sikap mereka yang senantiasa lalai dan leka terhadap suruhan atau perintah Ilahi. Kedegilan dan kesombongan mereka hanya mampu di'tampar' Allah dengan Tsunaminya, menjadikan mereka segera sedar diri dari keangkuhan yang melampau.

Tiba-tiba, Tahun Baru Masehi 2006, kita kembali dikejutkan dengan dentuman kuat bunga api yang dilepaskan ke udara menjelang detik jam 12 tgh mlm 31 Dec lalu. Sorak sorai dan gegak gempita menyambut lakaran warna-warni bunga api di udara, sambil mereka berpelukan-pelukan lelaki dan perempuan, malah sebahagiannya menjulang arak di tangan (kebetulan saya menyertai XPDC dakwah DPPP ke Dataran KLCC pada malam tersebut).

Saya percaya, pesta mungkar ini kembali dianjurkan, kerana tiada lagi Tsunami datang menginsafkan mereka pada penghujung tahun 2005.

Tiada siapa yang mahu Tsunami datang lagi justeru ia memusnahkan segalanya. Bukan sahaja orang yang jahat malah juga mereka yang baik tetapi berdiam diri menyaksikan kejahatan dan kemungkaran berlaku.

Persoalannya, kenapa pesta mungkar ini boleh dianjurkan secara terbuka dalam sebuah negara yang berkonsepkan Islam Hadhari dalam kepimpinannya. Sementara mungkar wajib dicegah dan ini menjadi kewajipan kerajaan. Tapi apa yang berlaku, maksiat dan mungkar kian berkembang dan subur.

Anehnya pula, saat mereka menyambut kedatangan Tahun Baru Hijri, boleh pun mereka menganjurkan Yasin, tahlil, kuliah dan Forum Maal Hijrah yang mendidik jiwa dan minda rakyat agar menjadi insan yang baik dan soleh, pastinya itu bertepatan dengan konsep Islam Hadhari.

Sebenarnya, tidak sukar untuk memahami apa yang berlaku justeru ia berlaku dalam satu dasar yang salah dan pincang. Dasar yang mencampur adukkan antara maksiat dan ibadat, dosa dan pahala serta haq dan bhatil.

Dualisme budaya malah agama, adalah contoh amalan sekularisme modern yang kini bertapak dalam negara ummat islam dan mengelirukannya. Satu sudut, mereka dilihat mahukan Islam dan lebih kuat Islam mereka kononnya dari pihak yang memperjuangkan Islam melalui Gerakkan Islam atau jamaah Islam.

Sementara satu sudut yang lain pula, mereka kelihatan lebih eropah dari eropah, Lebih barat dari barat.

Sesekali saya berfikir barangkali, golongan seperti ini hanya mampu disedarkan oleh Allah swt dengan tamparan kuat seperti Tsunami yang berlaku pada 2004 yang lalu.

Wallahua'lam bissowab

http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home