Laman Tarbiyah

Dunia Tiak Akan Aman Selagi Manusia Bertuhan Nafsu

KOTA BHARU, 29 Mac (Hrkh) - Dunia tetap tidak akan aman selagi manusia masih bertuhan kepada hawa nafsu dan hanya takut kepada sesama manusia, kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Azis Nik Mat.

Beliau berkata, pemikiran yang menjurus kepada tuntutan kebendaan itu adalah kesinambungan kepada perjuangan kaum Yahudi dan orientalis bagi melumpuhkan kekuatan Islam.
“Pengasingan di antara agama dan politik dalam kerajaan Islam secara jelas bermula di Turki semasa di bawah pemerintahan Kamal Atartuk. Era itu merupakan kemuncak kepada kemasukan elemen-elemen sekular,” katanya pada majlis Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) bersama media di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kias, Dr Johari Mat, wakil-wakil rakyat dan pensyarah-pensyarah kolej berkenaan.

Menteri Besar berkata, hasil penularan fahaman sekular itu menyebabkan lahir generasi baru yang hanya takut sesama manusia, memuja nafsu, hanya mahu mengaut keuntungan, mengejar pangkat dan kebesaran.

Oleh itu beliau berkata, Islam didatangkan bagi memperbetulkan semula sistem kehidupan manusia yang sudah banyak diresapi pengaruh sekular.

“Namun usaha untuk mengembangkan syiar Islam berdepan dengan pelbagai cabaran. Di mana musuh datang dari segenap penjuru. Mereka sengaja memperlagakan golongan agama dan akademik bagi mengelakkan Islam bersatu,” ujarnya.

Pada majlis yang sama beliau menyifatkan golongan wartawan mampu memainkan peranan bagi menyebarkan ilmu dan maklumat, di samping menjana pemikiran masyarakat.

“Wartawan sama dengan tok guru, mereka mampu menyebarkan ilmu untuk menjadi hamba kepada Allah SWT dan tidak menjadi hamba kepada nafsu. Diharap wartawan mengambil peluang keemasan dengan melaksanakan usaha yang mulia,” katanya.

Mengenai peranan dimainkan Kias beliau berkata, kolej tersebut berusaha mencantumkan ilmu Islam dengan ilmu-ilmu lain supaya manusia tidak ‘jauh’ daripada ajaran Nabi Muhammad SAW. – MYA/mj

0 Comments:

Post a Comment

<< Home