Laman Tarbiyah

Tahaluf Dalam Islam

Dari Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat

MUQADDIMAH
Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan bantu-membantu untuk menghadapi lawan.

Persefahaman ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji dan tertegaknya negara Islam.

Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.

Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan.

Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya:

Daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku menyahutnya.” (Riwayat Ibnu Ishaq)

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah deng prinsip Islam yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.

Hukum Tahaluf

Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya.Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ditolaknya.

Syarat-syarat Tahaluf

1.Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip

Dalil-dalilnya ialah:

a) Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolak-ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya.”

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w.

b) Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn Daghnah yang bersedia untuk memberi perlindungan kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn Daghnah mensyaratkan kepada Abu Bakar supaya jangan beliau membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam. Contoh maslahat yang diizinkan: a.Ke arah kedaulatan Islam dan pelaksanaan syariatnya.

Dalam situasi kegagalan idealogi-idealogi asing dan kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan orang- orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam idealogi bukan Islam dan kumpulan orang bukan Islam yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam, maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah dalam memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam pilihanraya, dalan persidangan dewan dan sebagainya, dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan dengan sepenuhnya dan kita tidak memaksa mereka untuk menganut Islam (tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka).

Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan orang-orang Yahudi.

b.Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral

Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini.

Contohnya, bekerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya kerana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah s.a.w. walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.

Dan sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: Dua orang anak muda yang mana salah seorang di antaranya dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar.Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak: Wahai orang Muhajrin! Manakala kaum Ansar berteriak: Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti Jahiliyah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar di mana salah satu dari keduanya berusaha memukul bahagian tubuh yang satunya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu menyembunyikan persoalan. Seharusnya kamu menolongnya baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya." (Riwayat Muslim)

2.Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan

Dalilnya:

a) Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sma menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan denga Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.

3.Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka

Di antaranya ialah mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali ‘Imran: 28)

Berwala maknanya menjadikan sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan secara zahir, tetapi hatinya tidak redha di samping berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.

Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman secara sementera waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (gencatan senjata).

Disebut dalam “Syarah Muhazzab” (karangan Imam Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya.

Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.

Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan)

Apabila adanya persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong, iaitu mereka berjanji untuk menolong kita dan kita berjanji untuk menolong mereka.

1.Mereka menolong kita

Menurut Syeikh Sayid Sabiq dalam “Fiqh al-Sunnah”, adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan daripada golongan munafik dan fasik kerana Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubai (seorang minafik) menyertai peperangan bersama-sama baginda. Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasik) yang mabuk dalam peperangan menentang Parsi.

Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat kekhilafan di kalangan fuqaha’:

a)Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharusnya secara mutlak b)Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan c)Imam Syafi’I mengharuskannya dengan syarat: a.Apabila orang-orang Islam berada di dalam keadaan lemah b.Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya bahagian ghanimah.

2.Kita menolong mereka

Menurut al-Sarkhasi di dalam kitabnya “al-Mabsut”, dan al-Syaibani di dalam kitabnya “al-Siyar al-Kabir”, Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ‘Ajwat kepada Abu Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Makkah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Makkah dilanda kemarau.

Menurut Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, “Zad al-Ma’ad”, apabila Sumamah bin al-Sal r.a., pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Makkah sehingga penduduk Makkah berada dalam keadaan kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Makkah merayu kepada Rasulllah s.a.w. menasihatkan Sumamah agar menghentikan sekatannya.

KESIMPULAN

Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1.Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:

a)Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam b)Mengiktiraf negara Islam c)Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya

2.Tahaluf tanpa membentuk negara:

a)Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar b)Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya c)Berlindung sementara ketika lemah d)Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah

Perhatian

Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah yang tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yangkuat yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden.Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.

5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.

6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah s.w.t dan kebijaksanaan kurniaanNya.

PENUTUP
Nas-nas dikaji menunjukkan tahaluf boleh dilakukan secara melibatkan gerakan menguasai negara secara menyeluruh dan secara khusus menghadapi isu-isu atau situasi-situasi yang khusus dengan memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home